PANDUAN PULANG BERHARI RAYA
Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera,
Beberapa hari lagi akan berkumandanglah takbir raya menandakan berakhirnya Ramadhan kali ini. Dalam kesibukan kita pulang ke kampung halaman masing-masing adakah kita telah memikirkan beberapa perkara yang penting sebelum kita memulakan perjalanan dan meninggalkan kediaman kita?
Justeru penulis menyenaraikan beberapa perkara penting agar sepanjang kita beraya nanti, perjalanan kita sentiasa dalam kapasiti keselamatan yang maksimum dan kediaman yang kita tinggalkan sementelah kita di kampung juga terhindar daripada sebarang perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
.
PERTAMA – KENDERAAN.
Pastikan jadual perbatuan kenderaan anda dipatuhi. Sekiranya perbatuan anda telah mencatatkan tempoh untuk diselenggara, jangan berlengah untuk menghantar kenderaan anda ke bengkel. Tindakan anda melengahkan atau menunggu saat-saat akhir akan menyebabkan anda kerugian masa dan mungkin wang ringgit. Ramai pemilik kenderaan menghantar kenderaan untuk diselenggara pada saat-saat akhir. Ini menyebabkan anda terpaksa menunggu berjam-jam lamanya malah mungkin terpaksa memohon cuti semata-mata untuk tujuan penyelenggaraan kenderaan. Disamping itu juga, biasanya mekanik hanya akan menumpukan kepada arahan anda sahaja iaitu kepada perkara-perkara umum seperti menukar minyak enjin, penapis minyak, plug dan penapis udara. Manfaat yang anda perolehi sekiranya anda menghantar kenderaan anda lebih awal ialah sekiranya berlaku beberapa masalah lain selepas anda menghantar kenderaan untuk diselenggara anda masih mempunyai masa untuk membuat penambahbaikan kepada mana-mana perkara yang terlepas pandang. Disamping itu juga, kenderaan anda dapat diperiksa dan diselenggara dengan lebih terperinci dan bukan dalam keadaan yang tergesa-gesa. Dari sudut ekonomi kemungkinan anda hanya perlu membayar sesuai mengikut perkhidmatan yang diberikan. Sedia maklum prinsip perniagaan apabila demand tinggi maka kosnya juga akan turut meningkat.
Beberapa perkara umum pemeriksaan kenderaan adalah:-
Minyak Enjin.
Elakkan ianya daripada kering atau minyak kelihatan hitam pekat. Periksa pada dip stick. Sekiranya cecair minyak tidak likat (sukar untuk mengalir) itu menandakan ianya sudah perlu ditukar. Dip stick juga akan memberikan bacaan paras minyak enjin anda. Sekiranya kurang dari paras yang ditetapkan, menandakan ianya juga perlu ditukar, bukan menambah (ada orang yang fikir untuk berjimat, mereka hanya menambah minyak enjin!!!). Ini akan memendekkan hayat piston enjin anda.
Sistem Brek.
Pemeriksaan boleh dibuat secara visual iaitu lihat pada cakera brek kenderaan anda. Sekiranya terdapat gurisan di cakera brek ini menandakan brake pad anda telah sangat haus. Kelewatan anda menukar brake pad mungkin akan menyebabkan peningkatan kos selenggara disebabkan anda terpaksa skin semula cakera brek. Barang diingat, skin cakera memerlukan kos sekitar RM90.00 ke RM120.00 seunit!!! Malah mungkin lebih tinggi (bergantung kepada jenis kenderaan). Begitu juga periksa hidrolik brek anda. Kaedahnya tekan beberapa kali pedal brek anda, sekiranya anda sukar atau terdengar bunyi yang di luar kebiasaan mungkin menandakan sistem hidrolik brek mengalami masalah. Jangan lupa juga untuk memastikan minyak brek sentiasa di paras yang mencukupi. Adalah lebih baik anda membuat flushing minyak brek.
Bateri.
Periksa paras air bateri anda dengan melihat tanda minimum yang terdapat di bateri. Selain itu lihat pada bateri sekiranya terdapat sebarang kerosakan seperti retak, berkarat, penutup bateri longgar atau tercabut dan juga pada sambungan kabel bateri sama ada longgar atau sebaliknnya. Sekiranya anda mendapati yang anda sering menambah air bateri dan juga terdapat serbuk putih di bahagian terminal, berkemungkinan kuasa yang digunakan kepada bateri terlalu tinggi. Bila keadaan ini berlaku, perlulah ianya diperbaiki dengan kadar segera untuk mengelakkan kerosakan teruk pada bateri atau merebak kepada masalah yang lain. Sementara itu, sekiranya terdapat kerosakan pada bateri, serbuk putih kehijauan akan kelihatan di sekitar dan bawah bateri tersebut.
Tayar.
Merupakan komponen kenderaan paling penting selain enjin. Periksa bunga tayar untuk memastikan ianya tidak botak. Lihat pada garisan di antara celahan bunga tayar. Sekiranya garisan tersebut sama rata dengan bunga tayar, ini menandakan tayar tersebut perlu ditukar. Bunga tayar/corak tayar sepatutnya lebih tinggi dari garisan. (rujuk pada gambar di sebelah). Sekiranya stereng kenderaan anda dalam paksi pada angka 3 dan 9, kedudukan tayar perlu seiring dengan badan kenderaan. Jika tidak seiring ini bermakna anda perlu membuat balancing dan alignment. Kegagalan anda membuatnya akan memendekkan hayat tayar anda (ekoran botak tidak sekata).
Pemeriksaan yang dinyatakan di atas boleh anda buat sendiri untuk menjimatkan wang anda lantas mengelakkan anda daripada mengeluarkan belanja yang tidak sepatutnya.
Pemeriksaan lain pada kenderaan adalah air radiator (mengelakkan radiator panas@overheat), sistem transmisi, aircond, fius, wiper, air filter, absorber, coil spring, drive shaft dan sebagainya (boleh dilakukan sendiri atau tanya pakar kenderaan anda).
KEDUA – KEDIAMAN.
Sebelum bergerak meninggalkan kawasan perumahan anda, singgahlah ke balai polis berhampiran dan maklumkan kepada pihak polis bahawa anda akan pulang ke kampung. Nyatakan berapa lama anda akan meninggalkan kediaman anda, Pihak polis akan membuat rondaan di kawasan perumahan anda malah lebih kerap sekiranya di kawasan perumahan anda ada ramai yang memaklumkan kepada pihak polis bahawa mereka juga akan meninggalkan kediaman mereka untuk suatu jangkasamasa tertentu. Oleh itu, nasihatkanlah jiran anda untuk mengambil langkah yang serupa.
Maklumkan kepada penghantar suratkhabar bahawa akhbar anda tidak perlu dihantar pada masa anda tiada di rumah. Akhbar yang berselerakan di ruang hadapan rumah sebenarnya seolah-olah memaklumkan kepada si pemecah rumah bahawa anda tidak berada di kediaman anda pada masa itu.
Elakkanlah daripada menyimpan barangan berharga seperti barang kemas, dokumen-dokumen sulit atau sejumlah wang yang besar di kediaman anda sepanjang anda tiada. Adalah lebih baik anda mendapatkan khidmat peti simpanan keselamatan di mana-mana bank sekiranya anda tidak berhajat untuk membawanya sekali.
main switch (sekadar gambar hiasan) |
Selain itu, aspek keselamatan kebakaran juga perlu diberi perhatian. Pastikan kepala gas anda dicabutkan dan ditutup sepenuhnya. Ini kerana dikhuatiri sekiranya terdapat kebocoran pada saluran atau kepala tabung gas di kediaman anda, ruang di dalam rumah anda akan dipenuhi oleh gas yang keluar akibat kebocoran dari tabung gas tersebut. Risikonya, apabila anda pulang ke rumah dan pada ketika itu juga anda terus menghidupkan (switch on) suis rumah anda, kemungkinan boleh terjadinya letupan. Justeru sebaik sahaja anda pulang ke rumah, buka tingkap atau pastikan terdapat pengudaraan di dalam kediaman anda dahulu sebelum memetik mana-mana suis atau sumber elektrik. Barang diingat, apabila anda memetik suis, percikan api akan terhasil dan ini akan menyebabkan gas yang memenuhi ruang di dalam kediaman anda akan bertindakbalas dan berlakunya letupan.
Tutup main switch anda. Sekiranya berlaku litar pintas yang disebabkan oleh pendawaian (mungkin tikus, lipas dan sebagainya), aliran elektrik kediaman anda telah ditutup sepenuhnya dan ini dapat mengelakkan daripada berlakunya kebakaran. Oleh itu, buatlah perancangan apabila membeli barangan mentah beberapa hari sebelum anda pulang ke kampung khususnya yang disimpan di peti sejuk untuk mengelakkan ianya daripada busuk. Ini dapat mengelakkan pembaziran. Selain itu juga, ianya secara tidak langsung mematikan mana-mana peralatan elektrik yang anda terlupa tutup.
Walau bagaimana pun, bagi anda yang memasang alat penggera atau yang mendapatkan khidmat syarikat keselamatan yang menghubungkan rumah anda dengan syarikat tersebut, anda boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka mengenai perkara ini.
Akhir sekali, maklumkan kepada jiran anda yang tidak pulang ke kampung mengenai kepulangan anda. Juga sekiranya rumah anda mungkin akan dikunjungi oleh sesiapa yang berkemungkinan menginap di kediaman anda atau yang mungkin mempunyai tujuan tertentu. Dengan ini, sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang tidak dimaklumkan berlaku di kediaman anda, jiran anda boleh dan tidak teragak-agak untuk memaklumkan aktiviti yang meragukan itu kepada pihak polis.
Ini hanyalah panduan, pandangan dan tindakan dari penulis sebelum pulang ke kampung halaman untuk dikongsi bersama. Sebarang maklumat lanjut, sekiranya anda tidak berpuashati atau tidak sependapat dengan penulis, anda disyorkan untuk melayari sebarang laman daripada pihak yang berkaitan.
Semoga pengetahuan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Salam Aidilfitri daripada penulis, mohon ampun dan maaf, zahir dan batin sekiranya ada bicara tinta yang melangkaui hati dan perasaan serta tingkahlaku yang kasar mahupun di luar batas. Akur pada kelemahan diri kerana sesungguhnya kelemahan sinonim kepada kita sebagai manusia.
Wassalam.
Comments