TERENGGANU JUARA PIALA FA MALAYSIA 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Irfan Bakti jurulatih Terengganu
dijulang pemain selepas perlawanan
Sekalung tahniah kepada pasukan bolasepak Terengganu yang menjuarai Piala FA untuk kali ke kedua. Kali pertama Terengganu memenangi piala  ini adalah pada tahun 2000 apabila mereka menewaskan pasukan dari utara tanahair, Pulau Pinang dengan kemenangan diperolehi melalui sepakan penalti 5-3 selepas kedua-dua pasukan buntu menemui sentuhan gol pada masa perlawanan sebenar. Tahun ini kemenangan mereka boleh dianggap lebih bergaya kerana semangat perjuangan kental yang ditunjukkan oleh para pemain bolasepak Terengganu. Biarpun ketinggalan dengan satu gol mereka terus berusaha untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya membawa perlawanan ke masa tambahan. Gol minit akhir perlawanan yang diperolehi oleh Terengganu membuktikan bahawa para pemain dari Malaysia sekarang ini semakin berfikiran matang dan profesional. Biasanya keadaan seperti ini hanya boleh disaksikan pada perlawanan bolasepak di luar negara khususnya membabitkan pasukan kelab-kelab profesional dari Eropah. 

Pemain Terengganu meraikan kemenangan sementara
di belakang Kapten Kelantan Badhri Radzi tunduk kecewa
Penulis yang menyaksikan perlawanan tersebut di sebuah restoran bersama-sama rakan yang lain sama ada yang menyokong Terengganu mahupun Kelantan pada awalnya terpaku apabila melihat bola menerjah gawang gol Kelantan. Beberapa detik selepas itu barulah rakan-rakan penulis yang penyokong Terengganu menjerit kegembiraan menyambut gol tersebut sementara rakan yang menyokong Kelantan pula nampak terpinga-pinga. Mereka mengeleng-geleng kepala dengan gol tersebut. Tidak sampai beberapa saat selepas gol tersebut pengadil meniupkan wisel menandakan perlawanan akan dibawa ke masa tambahan. Pada babak perlawanan masa tambahan jelas kelihatan Terengganu menguasai rentak perlawanan dan hasilnya pada minit ke-110 Ahmad Nordin Alias mengamatkan penonton bukan sahaja di Stadium Nasional malah restoran tempat kami menonton dan penulis percaya keadaan ini juga berlaku di mana-mana sahaja yang mengikuti perlawanan ini secara langsung.

Ada beberapa perkara positif yang dapat disimpulkan pada perlawanan tersebut. Pertama semangat juang para pemain bolasepak di Malaysia. Sekarang ini kita berasa agak yakin apabila pasukan yang kita sokong sama ada pasukan negeri mahupun pasukan kebangsaan akan bangkit walaupun ketinggalan. Mereka akan terus mengasak dan menyusun strategi permainan untuk mendapatkan gol penyamaan. Sikap positif ini jelas kelihatan pada akhir-akhir ini. Kedua, pemikiran kreatif pemain dalam saat genting dan terdesak. Merujuk kepada gol pertama pasukan Kelantan, penulis kagum dengan cara gol tersebut diperolehi. Permainan satu dua melalui 'straight through ball & dummy' sangat menarik (kalau boleh penulis anggap) saling tidak ubah seperti permainan pasukan Barcelona. Inilah satu-satunya gerakan yang hebat dan profesional dan gol yang dicipta juga bukan sembarangan pemain yang boleh menjaringkan gol dengan cara yang sedemikian. Walaupun diasak oleh pemain lawan, Nurul Azwan Roya bersaing, berlari dan mengawal bola dengan baik. Dalam detik yang memerlukan pemain berfikiran pantas, Nurul menyungkit bola melepasi jangkauan penjaga gol Terengganu yang juga merupakan penjaga gol kedua kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee Ramli. Gol itu boleh diklasifikasikan sebagai gol taraf Asia. Ketiga, persaingan beberapa pemain kebangsaan di posisi masing-masing yang mahu membuktikan kehebatan antara satu sama lain. Sebagai contoh persaingan antara Khairul Fahmi dan Sharbinee Allawee, Nur Sharul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahya, S.Chaturu dan Ashaari Shamsuddin dan beberapa pemain lain lagi.  Ini sangat baik dan bagus untuk perkembangan bolasepak negara. 

Gaya dan ragam penyokong yang memeriahkan perlawanan
Cuma insiden mercun ke dalam padang dan sinaran laser sahaja yang merencatkan sedikit perlawanan tersebut. Apa pun penulis percaya majoriti besar yang hadir tidak bersetuju dengan apa yang sudah berlaku. Tahniah kepada kedua-dua pasukan yang berjaya mara hingga ke perlawanan akhir dan memberikan persembahan perlawanan yang menarik kepada semua penonton. Begitu juga kepada penonton yang hadir ke stadium yang datang dari jauh yang tentunya menagih tenaga, masa dan wang ringgit. Tanpa anda suramlah bolasepak Malaysia. 
Wassalam.
P/S : Selangor, tahun ni kita tengok dululah ye dorang julang piala ni...tahun depan kita amik balik!!

Comments

Popular Posts