TAHUKAH ANDA BAHAYA BAHAN PENCUCI?


Pencuci sintetik boleh menjejaskan kesihatan manusia melalui interaksinya dengan sel sehingga menyebabkan kematian sel. Selain dari itu pencuci sintetik berupaya mengeluarkan lapisan lelemak pada kulit. Lapisan lelemak ini berfungsi menghalang bahan-bahan toksik dari memasuki tubuh. Ini akan menyebabkan molekul pencuci sintetik bertindak pada lapisan dalaman kulit untuk membunuh lebih banyak sel. Ada laporan menyatakan bahawa organ dalaman seperti hati dan organ pembiakan juga menghadapi ancaman kerosakan yang serius akibat tindakbalas molekul pencuci sintetik ini. 

Pencuci sintetik juga sukar dilupuskan yang akan menyebabkan pengumpulan dan seterusnya mencemar alam sekitar. Kehadiran bahan pencuci sintetik pada kepekatan yang kecil juga boleh membunuh hidupan akuatik. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan perubahan atau mutasi sel yang mana sel-sel mutan ini berkemungkinan berkembang dengan cepat untuk membentuk kanser. 

Pencuci sintetik mengandungi bahan-bahan seperti fluorescent untuk memutihkan pakaian, fosfat sebagai agen menanggalkan kotoran, silika untuk meningkatkan keupayaan mencuci dan garam beralkali seperti natrium karbonat, natrium silikat dan natrium metasilikat. 

Kebanyakan bahan pencuci terdapat di pasaran tidak melabelkan kandungannya. Ini menyukarkan pengguna membezakan antara pencuci asli dan pencuci sintetik.  

Terdapat satu cara mudah untuk mengenal pasti pencuci asli iaitu :-
  • Sediakan bahan pencuci yang hendak dikenal pasti sebagai ujian, 1 liter air, bekas lutsinar dan cuka (asid asitik).
  • Campurkan sedikit bahan pencuci ke dalam bekas lutsinar mengandungi air. Biarkan sehingga campuran tersebut larut seketika.
  • Campurkan sedikit cuka ke dalam bekas tersebut.
  • Hasil yang akan didapati adalah seperti berikut:
  • jika sabun asli - tiada buih dan air menjadi keruh.
  • jika sabun pencuci sintetik - ada buih dan air kelihatan jernih.
  • jika campuran pencuci sintetik dan sabun asli - berbuih dan air menjadi keruh.
Di antara bahan pencuci di rumah yang mempunyai risiko keracunan teruk ialah bahan peluntur, bahan pencuci, cermin kereta, pembunuh kuman, pencuci kerak cerek air dan pencuci pinggan mangkuk automatik.
 
Bahan peluntur dikenali sebagai agen menghakis dan mengandungi bahan aktif natrium hipoklorit pada kepekatan 5%. Bahan ini tidak menunjukkan sifat terlalu beralkali dan mangsa yang terminum bahan ini kebiasaannya hanya perlu meminum segelas susu. Namun begitu keradangan mulut dan esofagus mungkin berlaku jika termakan dengan kuantiti yang banyak. Peluntur dalam bentuk serbuk mempunyai komposisi lebih pekat oleh itu keradangan yang lebih teruk akan berlaku jika termakan. Percampuran bahan peluntur dengan bahan-bahan pencuci lain boleh mengakibatkan kesan yang lebih teruk. Bahan peluntur yang dicampurkan dengan bahan pencuci tandas yang berasid kuat akan menghasilkan klorin manakala campuran bahan peluntur dengan ammonia akan menghasilkan gas kloramin. Kedua-dua gas ini amat toksik pada selaput mukosa terutamanya pada saluran pernafasan. 

Bahan pencuci cermin kereta mengandungi metil alkohol (metanol) pada kepekatan tinggi. Bahan ini berupaya membersih dan menghalang pembekuan. Metanol dimetabolismakan kepada metabolit toksik yang boleh mengakibatkan kerosakan sistemik serius. Mata boleh menjadi buta dengan hanya meminum lima hingga sepuluh mililiter sahaja bahan ini!!!

Pembunuh kuman biasanya mengandungi bahan kimia fenol manakala pencuci longkang dan ketuhar adalah bahan berbes yang terdiri dari ammonia pada kepekatan melebihi 10% dan hidrogen peroksida atau natrium peroksida. Pencuci tandas biasanya mengandungi bahan aktif berasid yang menghakis.

Pencuci kerak cerek air dan pencuci pinggan mangkuk automatik pula mengandungi bahan kimia yang sama dan boleh mengakibatkan kesan radang kepada mangsa. Pencuci mesin basuh juga boleh menyebabkan keracunan. Kebanyakan pencuci mesin basuh diketahui mengandungi garam beralkali seperti natrium karbonat, natrium silikat dan natrium metasilikat yang boleh mengakibatkan keradangan yang teruk jika terkena mata. 


Rawatan 
Mangsa yang tertelan sabun akan mengalami rasa mual dan mungkin muntah-muntah selepas beberapa minit. Biasanya kesan ini boleh berlanjutan sehingga 24 jam. Mulut, esofagus dan perut mangsa akan menunjukkan keadaan seperti terbakar. Mangsa perlu diberi minum susu atau sekurang-kurangnya air biasa dengan banyaknya bagi mencairkan isi perut. Jika banyak sabun cecair yang ditelan (di antara 30-50gm) boleh mengakibatkan keradangan pada mukosa mulut, muntah-muntah dan cirit-birit.


Jika terkena mata akan menyebabkan mata menjadi merah dan rasa pedih. Mata perlu dicelupkan ke dalam air dan kelip-kelipkan mata selama beberapa ketika atau sekurang-kurangnya alirkan air kepada mata selama 10-15 minit sebelum diberi rawatan perubatan. 

Bantuan awal kepada mangsa keracunan bahan kimia di rumah adalah penting untuk menyelamatkan mangsa. 
  • Jika mangsa muntah-muntah dalam jangkamasa yang panjang, sakit perut yang teruk dan tidak berupaya menelan apa-apa, bawa mangsa segera berjumpa doktor.
  • Tentukan bila masa mangsa tertelan bahan tersebut.
  • Sekiranya kulit atau mata mangsa terkena bahan tersebut, cuci dengan air dan sabun selama 10-15 minit.
  • Jika mangsa berupaya menelan, beri minum air atau susu supaya kepekatan kandungan bahan di dalam perut dapat dikurangkan. Kanak-kanak disyorkan meminum kurang daripada 60ml (1 cawan) dan orang dewasa pula kurang daripada 150ml (2.5 cawan).



Langkah-langkah mencegah keracunan bahan sediaan kimia di rumah.
  • Gunakan bekas yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak.
  • Simpan bahan dalam bekas asal.
  • Jangan sekali-kali gunakan bekas bahan-bahan kimia ini sebagai bekas makanan kerana ini akan mengelirukan kanak-kanak.
  • Simpan makanan, bahan kimia dan ubat-ubatan di tempat berasingan.
  • Pastikan almari atau bekas simpanan mempunyai penutup dan berkunci.
  • Beli pencuci dan bahan lain dalam kuantiti kecil yang mencukupi untuk sesuatu tugas. Seboleh mungkin dapatkan barang yang paling tidak merbahaya.
  • Simpan semua bahan kimia, pencuci dan ubat-ubatan di tempat yang tidak boleh dicapai dan dilihat oleh kanak-kanak.

Bahan-bahan kimia yang dinyatakan sememangnya telah menjadi satu keperluan di rumah. Jadi tidak dapat tidak, kita terpaksa menyimpannya di rumah, walaupun kita mengetahui bahaya yang bakal timbul. Oleh itu kaedah pengunaan dan penyimpanan yang baik perlu dititik beratkan oleh ibu bapa bagi memastikan bahan-bahan tersebut tidak terdedah dan menarik minat kanak-kanak untuk mencuba. Berikut adalah panduan mudah yang boleh diamalkan :-
  • Gunakan bekas yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak.
  • Simpan bahan dalam bekas asal.
  • Jangan sekali-kali gunakan bekas bahan-bahan kimia ini sebagai bekas makanan kerana ini akan mengelirukan kanak-kanak.
  • Simpan makanan, bahan kimia dan ubat-ubatan di tempat berasingan.
  • Pastikan almari atau bekas simpanan mempunyai penutup dan berkunci.
  • Beli pencuci dan bahan lain dalam kuantiti kecil yang mencukupi untuk sesuatu tugas. Seboleh mungkin dapatkan barang yang paling tidak merbahaya.
  • Simpan semua bahan kimia, pencuci dan ubat-ubatan di tempat yang tidak boleh dicapai dan dilihat oleh kanak-kanak.
Cegahlah ahli keluarga terutama kanak-kanak daripada mengalami keracunan di rumah sendiri. Jadikan rumah sebagai tempat paling selamat untuk seluruh ahli keluarga. 
                                                                                                                                                    
Bibliografi :
National Poisin Centre Journal, USM.
US National Library of Medicine.
“Detergent Poisoning” University of Maryland Medical Centre 

Comments

Popular Posts