Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2011 - SATU JENAKA?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Barisan Pemenang Anugerah Bolasepak Negara 2011 bergambar bersama
Timb. Presiden FAM YBhg Tan Sri Datuk Seri Panglima Hj Annuar Bin Hj Musa 
Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2011 telah pun berlalu namun bagi penulis ada sedikit rasa yang melucukan dan kejanggalan terhadap beberapa keputusan juri penilai. Bukan  berniat meremehkan malah jauh sekali  mempertikaikan kredibiliti juri yang menilai tetapi kaedah atau sistem apakah yang digunapakai oleh mereka untuk menilai seseorang pemain untuk dinobatkan selaku pemain terbaik. Pada hemat penulis seharusnya pemain yang mewakili negara dan pada masa yang sama cemerlang bersama pasukan negeri atau kelab masing-masing lebih layak memenangi anugerah yang disediakan. Bukan menidakkan sumbangan dan kecemerlangan pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha (Anugerah Penyerang Terbaik dan Anugerah Pemain Paling Bernilai) serta Norhafiz Zamani Misbah (Anugerah Pertahanan Terbaik) tetapi kita harus sedar untuk mengekalkan momentum, kecergasan dan kecemerlangan seseorang pemain bolasepak bukanlah suatu perkara yang mudah. Justeru kalau sekadar mewakili pasukan negeri atau kelab kemudian dijulang sebagai pemain terbaik, penulis menganggap ianya tidak adil kepada pemain yang berkorban di atas padang yang memakai jersi negara.....

Negeri atau negara - Mana lebih hebat dan penting? 
Tanpa kita sedar seolah-olah kita mengalakkan pemain-pemain ini menyimpan tenaga dan yang lebih menyedihkan takut untuk mewakili negara kerana khuatir kecederaan menganggu perjuangan pasukan negeri atau kelab masing-masing. Pada masa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil beberapa langkah yang terpuji kebelakangan ini, anugerah seperti ini seperti 'memberi nafas' dan dorongan kepada pemain-pemain mengambil pendekatan negatif seumpama itu. Masakan tidak?! Tanpa perlu bersusah payah menyarung jersi negara, mereka masih boleh mendapat pengiktirafan tertinggi bolasepak negara!!! Kita harus mendidik mereka untuk sentiasa lapar dan ketagih menyarung jersi negara. Salah satunya melalui anugerah seperti ini. Justeru anugerah tersebut haruslah diberi keutamaan kepada mereka yang berjuang untuk negara dan bukannya gah sekadar mewakili pasukan negeri atau kelab tetapi tidak berselera untuk menyarung jersi negara. 
Perlu ada satu sistem pemarkahan atau merit di mana pemain yang mewakili negara mendapat markah yang lebih. Bonus markah boleh ditambah sekiranya kejohanan yang disertai mencapai atau melepasi sesuatu tahap. Contohnya melepasi pusingan awal atau mara ke pusingan yang berikutnya. Prestij kejohanan juga akan menentukan tinggi rendah markah yang diberikan. Ini memungkinkan pemain yang tidak mewakili negara tetapi cemerlang di peringkat antarabangsa bersama pasukan negeri atau kelab untuk mendapat markah tambahan. 
       
Khyrill Muhymeen bersaing dengan pemain
South China FC pada satu perlawanan Piala AFC 2008
Contohnya pemain yang bermain di Piala AFC. Mungkin akan ada pemain yang kelab mereka tidak layak bermain di kejohanan tersebut akan menganggap ianya tidak adil. Jawapannya mudah sahaja. Jika hendak adil, maka pastikan pasukan negeri kamu bermain baik sehingga bergelar juara sama ada di dalam Kejuaraan Liga, Piala FA mahupun Piala Malaysia. Ini akan melayakkan pasukan tersebut untuk bersaing di kejohanan yang dinyatakan lantas pemain yang tidak bersetuju tadi secara langsung boleh mendapat markah tambahan. Pemain yang mewakili pasukan negeri atau kelab yang pasukannya tidak layak menyertai kejohanan antarabangsa peringkat kelab pula tentunya akan bermain sebaik mungkin di sepanjang masa bagi mencapai prestasi yang baik dengan harapan dipilih oleh jurulatih negara untuk mewakili pasukan kebangsaan.
Tidakkah sepatutnya kita mengalakkan mereka berfikiran begitu?? Bila sistem pemarkahan seperti ini diadakan tentunya pemain-pemain akan memberikan mutu permainan yang terbaik untuk memastikan kemaraan pasukan masing-masing khususnya di peringkat antarabangsa dan kestabilan momentum prestasi pemain itu sendiri!! 
Datuk K.Rajagopal gigih melatih anak-anak buahnya di padang
Tidak terfikirkah juri yang bijaksana bagaimana perit dan jerihnya pemain yang mewakili negara?? Kem latihan yang tidak putus-putus, tekanan daripada 27 juta orang rakyat Malaysia berbanding pemain yang mewakili negeri, kesakitan akibat kecederaan yang dialami ekoran lawan yang dihadapi jauh lebih agresif dan sebagainya. Ini belum lagi dikira soal keselamatan mereka. Mengambil contoh Kejohanan Piala AFF Suzuki dan Sukan Sea yang baru lalu, bagaimana mereka perlu menempuh saat-saat genting.....ramai rakyat di tanahair hanya memahami keadaan tersebut melalui kaca televisyen dan berita di akhbar tetapi bagi penulis yang turut ke stadium khususnya di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, bukan calang-calang pemain boleh menghadapi suasana dan situasi sedemikian rupa. Namun atas keazaman untuk menjulang nama negara, ketakutan yang bermain di hati dibuang jauh-jauh. Bagaimana pula dengan perlawanan di negara-negara lain seperti Vietnam, Jepun, Australia dan lain-lain serta kem latihan dan perlawanan di Eropah…..Sayangnya, perkiraan ini tiada pada hemat juri yang menilai.
Pemenang-pemenang Anugerah Ballon D'Or 2010
Kita lihat bagaimana anugerah di negara lain atau pun di peringkat benua mahupun dunia dianjurkan. Tidak ada pemain yang hanya cemerlang di peringkat kelab diberikan sebarang anugerah melainkan anugerah yang datang dari kelab mereka sendiri. Kita tidak mendengar nama-nama yang bermain di kelab-kelab besar di Eropah seperti Manchester United, Chelsea, Real Madrid, Barcelona, Inter Milan dan lain-lain memenangi anugerah sama ada anugerah kebangsaan ataupun anugerah yang dianjurkan oleh FIFA, UEFA dan sebagainya sekiranya mereka tidak mewakili pasukan kebangsaan masing-masing. Soalnya adakah kita bersikap dan berfikiran menentang arus? Atau adakah para juri kita ini fikir kaedah penilaian juri tersebut kurang bagus. Jika kaedah sedia ada oleh juri tempatan lebih bagus seharusnya pemain yang diberikan anugerah khususnya pemain paling bernilai menjadi rebutan bukan sahaja di dalam negara bahkan sehingga ke luar negara. Barulah ada prestij dan wibawa anugerah tersebut. Lucu bila memikirkan bagaimana pemain yang menjadi sebutan dan rebutan di peringkat Asia Tenggara, mengharumkan nama negara di liga asing, menjadi pemain tonggak kelabnya, kehadirannya meningkatkan prestasi kelab daripada penghuni dasar liga ke pasukan pertengahan liga dan sebagainya tetapi tidak terpilih. Pemain pertahanan yang kalau tak silap penulis sepanjang tahun hanya 2 kali sahaja mewakili negara (itu pun perlawanan persahabatan) pula memenangi Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik!!!! Apa sudah jadi dengan nama-nama seperti Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Asrarudin Putra Omar dan beberapa pemain lain lagi yang lebih regular? Ada yang berkata, "mereka muda lagi, esok-esok pun boleh dapat....", jika atas sebab itulah mereka tidak dipilih maka janganlah kita marah pula kalau prestasi mereka juga lembab. Ini kerana dorongan moraliti negatif yang telah kita berikan kepada mereka tanpa kita sedar!! 
Biarpun adakalanya prestasi mereka kurang baik tetapi secara keseluruhan mereka ini lebih banyak menyarung jersi negara sama ada kejohanan di peringkat umur mahupun pasukan senior kebangsaan. Kejohanan yang disertai pula membutirkan kejayaan dan bukan hanya kejohanan serantau tetapi melangkau ke peringkat antarabangsa. Penulis suka ingin meminta kepada juri yang menilai, tidak perlu banyak sekadar tiga negara sahaja di dunia, berikan nama pemain yang mewakili peringkat umur dan pada masa yang sama turut mewakili pasukan senior untuk jangkamasa setahun. Berpeluh dahi rasanya jawapan mahu diberikan.

Sessi bersama peminat (sekadar gambar hiasan)
Setelah perkara pokok diselesaikan barulah pula Jawatankuasa Penganjur memainkan peranannya. Di sini, mujurlah Astro Arena tampil memberi 'nyawa'. Rasanya tanpa mereka ramai yang tidak mengendahkan anugerah tersebut. Penganjur harus mengambil contoh bagaimana sesuatu anugerah yang gemilang dianjurkan.
Tidak kiralah sama ada anugerah itu berunsurkan anugerah hiburan dan sebagainya. Adakan Road Tour memperkenalkan calon-calon akhir, on-air session di saluran radio bersama calon, sessi fotografi, banner, billboard (kerjasama Astro Arena/penaja) dan sebagainya. Yang penting, anugerah itu menjadi sangat gah, komersil dan glamour.
Billboard seperti ini boleh diadakan sempena
Anugerah Bolasepak Kebangsaan sebagai daya tarikan
Barulah para pemain sendiri akan berasa seronok dan teruja. Barang diingat hanya majlis seumpama inilah majlis buat mereka. Mereka tidak ada Hari Keluarga, Jamuan Makan Malam Syarikat atau sebagainya. Rutin mereka setiap hari adalah di padang. Jadi tidak salah sekiranya acara seperti ini diadakan penuh gemilang dan diberikan publisiti yang sangat meluas sama seperti publisiti untuk anugerah-anugerah hiburan. Pemain-pemain bolasepak ini juga adalah selebriti!! Sekali lagi barulah Malam Anugerah Bolasepak Kebangsaan  meriah dan bukannya menjadi majlis saling tak ubah seperti majlis pelancaran produk sahaja!!!!

Berbalik kepada isu utama, juri boleh menyenaraikan kejohanan yang disertai oleh pasukan kebangsaan pada sesuatu tahun tersebut. Begitu juga senaraikan pertandingan yang dihadapi oleh semua pasukan negeri atau kelab. Markah tambahan juga boleh meliputi untuk anugerah pemain terbaik perlawanan, pemain terbaik kejohanan, penjaring terbanyak dan sebagainya sama ada kejohanan peringkat kebangsaan mahupun tempatan. Dengan ini penulis amat yakin pemain-pemain yang berjuang di atas padang akan mengejar matlamat untuk dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Kebangsaan kerana di benak mereka telah disemat bahawa anugerah sebagai pemain terbaik memang sangat bernilai dan bukan calang-calang pemain layak untuk mendapatkannya lantaran penilaian yang dibuat adalah sangat ketat yang mengharuskan  mereka berbangga memiliki anugerah tersebut sepanjang karier mereka sebagai seorang pemain bolasepak.


Apa yang penulis nyatakan adalah demi kebaikan dan kemajuan bolasepak negara. 


"Lemas menerobos jalur gelap".
Wassalam dan sampai berjumpa lagi....  

Comments

Popular Posts