PERHIMPUNAN BERSIH 3.0 - DALAM MENANG ADA KALAH


Selepas 24 jam berakhirnya Perhimpunan Bersih 3.0 aku ada pendapat peribadi. Pada pendapat aku, penganjur perhimpunan tersebut mencapai kemenangan dalam kekalahan.

Kenapa? Ini adalah kerana:-

Daripada anggaran 100,000 orang yang hadir (aku ambil anggaran daripada pihak yang menyokong perhimpunan iaitu harakahdaily.com untuk membuktikan aku adil dalam memberi pendapat), pada aku jumlah tersebut mengambarkan majoriti rakyat (silent majoriti) tidak menyokong mereka. Ini kerana ribuan yang hadir adalah daripada penyokong/ahli pihak Pakatan Rakyat sendiri. Perhimpunan yang dianjurkan kali ini rata-ratanya ahli daripada parti yang menyertai Pakatan Rakyat seluruh negara yang memberikan komitmen kehadiran berbanding sebelum ini. Malah mengikut kenyataan Ketua Pengarah Unit Amal PAS bahawa 4,000 orang dari Unit Amal Pemuda Pas dari Semenanjung Malaysia (sumber dari keadilandaily.com) telah hadir untuk perhimpunan kali ini. Dianggarkan sejumlah 10,000 orang pula adalah penyokong daripada pihak yang menentang Projek Lynas. Jumlah ini diambil daripada Himpunan Hijau (sumber suarapakatanrakyat.com) yang diadakan bulan Februari lalu di Padang MPK4, Kuantan. Aku perlu mengambil jumlah ini untuk berlaku adil dan menganggap jumlah yang hadir pada perhimpunan di Kuantan itu, 100 peratus hadir di Kuala Lumpur untuk Perhimpunan Bersih kali ini. Selain itu, seramai kira-kira sekitar 5,000 daripada kumpulan yang menyokong Pemansuhan PTPTN sumber suaramahasiswa.com. Angka ini juga diambil daripada maklumat daripada pihak penganjur Pemansuhan PTPTN yang lalu. Jika ikut maklumat daripada media perdana, lebih rendah iaitu sekitar 300 ke 500 orang sahaja. Seramai sekitar 1,000 orang pula daripada pihak yang membantah pembinaan pembangunan Kampung Kerinchi (pun sama kalau ambil maklumat daripada pihak yang bertentangan mengatakan sekitar 50 ke 100 orang sahaja). Apabila jumlah ini dicampurkan akan mengumpulkan seramai 20,000 orang. Ini belum diambil anggaran perangkaan daripada kumpulan yang menyokong LGBT@seksualiti merdeka. Ironiknya jika jumlah kumpulan LGBT ini ramai sehingga boleh mencecah jumlah lebih besar daripada kumpulan Projek Lynas, ianya adalah tamparan hebat kepada Parti PAS kerana tentunya rakyat atas pagar yang menyokong parti ini atas dasar Islam berfikir dua kali.

Justeru mengambil jumlah tertinggi daripada Perhimpunan Bersih 2.0 iaitu seramai  50,000. Perangkaan ini pula diambil daripada pihak yang menentang Perhimpunan Bersih 2.0 kerana tentunya pihak yang menentang ini mahu menghebahkan angka yang sedikit. Katakanlah aku ambil jumlah daripada pihak yang menganjur Perhimpunan Bersih 2.0 seramai 100,000 orang makanya dimanakah boleh pihak penganjur mengatakan matlamat mereka untuk perhimpunan kali ini berjaya? Ini kerana jumlah yang hadir pada perhimpunan 3.0 kali ini dianggarkan adalah seramai 100,000 orang sumber harakahdaily.com sama jumlahnya dengan Perhimpunan Bersih 2.0. Sekali lagi untuk berlaku adil aku menganggap bahawa perhimpunan kali ini adalah seramai 120,000 orang (selepas dicampur dengan 3 kumpulan iaitu Projek Lynas, Unit Amal PAS dan pemansuhan PTPTN) biarpun jumlah ini dianggap tidak logik (boleh sesak Stadium Nasional jadinya). Ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa perangkaan pihak yang menentang perhimpunan sebelum ini adalah lebih logik.

Atas sebab itulah aku sebenarnya berharap sangat agar pihak penganjur dapat mengadakan perhimpunan di dalam stadium kerana anggaran yang dibuat nanti lebih jelas berdasarkan tempat duduk yang ada selain daripada mereka yang berdiri. Selain itu tidak melibatkan orang ramai yang sebenarnya tidak ada apa-apa kaitan (Iyelah bila buat di luar, orang yang nak pergi pasar pun tak fasal-fasal dikira juga kehadirannya).  Atas padang mungkin tidak dibenarkan kerana permukaan padang boleh rosak sementelah Stadium Nasional dan Stadium Shah Alam baru sahaja dibaikpulih. Melainkan di Stadium Merdeka, Stadium Puta Dan Stadium Kiara kerana ruang di tengah stadium boleh digunakan. Nah, ini pastinya akan memberi gambaran sebenar sokongan yang diperolehi oleh penganjur.

Kesimpulannya, rakyat yang hadir menyokong Perhimpunan Bersih adalah orang yang sama, mungkin berkurang atau bertambah sedikit.  Ini kerana rakan-rakan aku sendiri yang menyertai perhimpunan bersih sebelum ini (kata mereka sekadar  nak tengok keadaan sebenar sebab itu mereka pergi - bukan menyokong pun) tetapi kali ini mereka tidak pergi menyertainya.  Justeru kepada rakyat marhaen yang cintakan keamanan (tetapi tidak beerti mereka tidak menyokong Pakatan Rakyat), terima kasih kerana anda semua masih sayangkan negara kita. Kita masih waras bahawa penentuan adalah melalui pilihanraya. Jika pilihanraya tidak adil manakan mungkin Pakatan Rakyat boleh memenangi 5 buah negeri (sebelum Perak bertukar kerajaan). Malah majoriti di kebanyakkan kerusi sama ada DUN mahupun Parlimen yang dimenangi oleh Barisan Nasional juga berkurangan. Jika tidak telus atau bersih, tentunya keputusan pilihanraya yang diperolehi BN lebih baik daripada PRU 2004 (PRU 2004, Barisan Nasional menang besar disamping majoriti yang bertambah sangat banyak).  Sehingga pada PRU 2008, Barisan Nasional berasa sangat yakin boleh menang besar sekali lagi. Ini yang menyebabkan kempen tidak agresif, calon yang tidak turun padang bertemu pengundi, pecah belah selain beberapa isu nasional yang tidak ditangani dengan serius. Jika mereka sedar dari awal bahawa rakyat majoriti akan beralih angin dan pada waktu yang sama mereka tahu akan kalah, tentunya mereka akan bersiap sedia untuk bermain kotor untuk mempastikan kemenangan mereka. Ini membuktikan PRU sebelum ini adalah bersih sebab yang menang tetap menang dan kalah tetap kalah. Jika Barisan Nasional menang selesa seperti pada PRU 2004, barulah kita patut berasa ada yang tidak kena kerana pada waktu tersebut memang tidak dinafikan majoriti rakyat berasa tidak puashati dengan prestasi kerajaan. Rakyat menyokong Pakatan Rakyat bukan kerana mereka menyokong tetapi sebagai simbol protes sebagai amaran kepada kerajaan agar memperbaiki mutu pentadbiran negara.

Diambil kira faktor prestasi, makanya kita berpuashati dengan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan barisan pentadbirannya. Pelbagai usaha telah dijalankan. Malah PM sendiri telah mengarahkan agar wakil-wakil rakyat daripada BN selalu turun padang, tanya khabar rakyat dan sebagainya selain PM sendiri tidak jemu-jemu siang dan malam menjelajah ke seluruh negara menerangkan perancangan kerajaan. Biarpun dalam keadaan ekonomi dunia yang terus-terusan tidak stabil, pembangunan dan pengurusan negara tetap diteruskan dengan baik. Itu tidak dapat dinafikan.

Itulah pendapat aku yang boleh aku anggap analisis dari orang yang tidak pakar dalam hal politik. Pendapat aku datangnya daripada perspektif rakyat kebanyakan seperti yang lainnya yang masih sayangkan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia yang hidup dalam negara majmuk berbilang agama, bangsa dan budaya.

Penganjur Bersih yang diketuai oleh Dato’ Ambiga Sreenevasan dan Pakatan Rakyat yang menyokong perhimpunan ini menang kerana berjaya mengekalkan sokongan daripada penyokong tegar mereka tetapi kalah kerana tidak dapat menarik sokongan majoriti rakyat keseluruhannya yang sudah mula muak malah takut melihat negara menjadi huru hara selain mereka hakikatnya telah mula dapat menerima pentadbiran Barisan Nasional biarpun belum boleh dikatakan cemerlang tetapi baik dan boleh dipertingkatkan. Perkara ini rasanya disedari oleh PR yang tentunya menimbulkan kerisauan menjelang PRU ke 13 nanti.

Comments

Anonymous said…
Realitinya "pada pendapat saya" tiada siapa pun yang menang.

Popular Posts