RAYUAN SAYA - BANTULAH KELUARGA INI.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Sebenarnya agak lambat juga penulis nak respon dengan perkara ini. Bukan apa, menjadi prinsip penulis apabila ingin membicarakan sesuatu perlulah berlandaskan kepada bukti, maklumat dan fakta. Justeru dua hari yang lepas penulis berusaha untuk mendapatkan maklumat mengenai apa yang ingin penulis bicarakan pada kali ini.
Selesai membaca akhbar Kosmo pada hari Isnin yang lalu, hati penulis berasa sangat gelisah. Perasaan ini turut bercampur baur dengan rasa kecewa, sedih, hairan, bingung dan pelbagai lagi perasaan negatif.
“Tidak boleh berniaga lagi”, antara ayat satu berita yang dimuatkan dalam akhbar Kosmo pada hari tersebut. Apa yang sangat mendukacitakan penulis isu yang timbul hanya disebabkan hamba Allah tersebut berniaga di kaki lima. Makanya datanglah penguatkuasa mengarahkan hamba Allah tersebut agar menutup perniagaannya di situ. Bertahun sudah hamba Allah tersebut mencari sesuap nasi di situ bagi menyara keluarganya tidak pernah pula ianya menjadi ‘kudis’ kepada masyarakat sekeliling. Bukannya banyak mana pun, purata jualan RM10 sehari besar maknanya kepada keluaga ini. Dahlah suami hamba Allah tersebut tidak boleh bekerja kerana menghidap radang hati yang menyebabkan beliau sukar bergerak dan ketika ini sedang terlantar, kini satu-satunya mata pencarian mereka bergantung untuk mencari sesuap nasi dikambus pula. Allah…, kasihannya. Ketegasan pihak bertanggungjawab memang penulis puji dalam memastikan kehidupan bandar yang bersih dan selesa namun dalam perkara ini penulis tertanya-tanya tidakkah ada kompromi hatta perasaan belas kepada hamba Allah tersebut?? Tidakkah di hati mereka tertanya-tanya bagaimana jadinya hamba Allah tersebut nak mendapatkan rezeki jika tempat ‘bekerja’nya ditutup??
Bantulah Mereka Menikmati Kehidupan Ini |
Inilah Tempat Mereka Berteduh |
Bagaimana nasib anak-anak hamba Allah tersebut untuk bersekolah?? Rumah hamba Allah yang terletak di Kampung Tok Kasai, Kuala Kedah (tidak jauh dari bandaraya Alor Star) tersebut kini bergelap gara-gara pihak TNB telah memotong perkhidmatannya akibat kegagalan hamba Allah tersebut menjelaskan bil elektriknya lantaran ‘terputus’nya mata pencarian utama pada ketika ini. Lebih malang lagi, bekalan air juga sedang menanti masa sahaja untuk dipotong. Terkedu bersulam hampa penulis jadinya. Iyalah, elektrik dan air adalah asas bagi kehidupan manusia. Bagaimana mereka dapat meneruskan hari-hari mereka dalam serba kepayahan dan ketidakselesaan???
Fikiran penulis terus menerawang berfikir sesuatu yang kabur dan keliru. Kerana apa?? rasanya dengan sifat ketegasan yang dimiliki oleh pegawai-pegawai penguatkuasa tersebut, adalah lebih ‘hebat’ kiranya mereka melaksanakan lantas mengarahkan beberapa premis yang lebih membawa banyak keburukan jua aktiviti-aktiviti yang membawa kemudaratan kepada manusia sejagat jika hendak dibandingkan kepada aktiviti yang hamba Allah tadi lakukan. Selain daripada bekerja untuk menyara keluarga di dalam waktu yang sama beroleh pahala untuk bekalan di sana kelak lantaran amanah yang dipikul telah dilaksanakan dengan penuh adil dan saksama dan disulami dengan pertimbangan naluri peri kemanusiaan yang ulung dan unggul. Tidakkah begitu??
Mungkin jawapan yang ada pada mereka mudah. Pindah dan sewa di tempat yang boleh berniaga. Namun yang pelik bin ajaib, Encik Azizan memaklumkan bahawa beliau telah beberapa kali memohon lesen untuk berniaga tetapi tidak diterima oleh pihak majlis. Sehingga kini, beliau sendiri bingung adakah permohonannya telah diterima ataupun tidak. Selain itu juga, perlu kita ketahui apa permasalahan yang dihadapi oleh hamba Allah ini?? Mampukah untuk beliau menyewa?? Strategikkah kedudukan lokasinya?? Bagaimana untuk urusan pengangkutan?? Sedang di tempat sebelum ini semua masalah itu tidak timbul. Pastinya hamba Allah tadi telah memilih lokasi tersebut selepas semua permasalahan yang dinyatakan tadi difikirkan. Penulis sedang mengusahakan untuk membuat kutipan derma bagi membantu keluarga tersebut menjelaskan bil elektrik dan air mereka dan juga apa-apa yang boleh untuk satu ‘penghijrahan’ bagi keluarga ini seandainya bantuan yang diperolehi mengalakkan. Penulis akan berhubung dengan wartawan yang membuat liputan berita tersebut dan berbincang dengan beliau dan mungkin melibatkan beberapa pihak tertentu untuk bersama-sama membantu bagi menjayakan tujuan murni ini. Besar harapan penulis sekiranya semua kita dapat membantu meringankan kesusahan mereka kalau tak banyak sedikit pun jadilah kepada keluarga ini. Saya merayu kepada semua, TOLONGLAH…. Wassalam.
NOTA : Berita mengenai Encik Azizan (suami kepada insan yang berniaga nasi lemak) sebelum ini telah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian kira-kira dua minggu yang lalu. YB dah bantu ke belum?? Siapa YBnya, carilah sendiri. Jika dimaklumkan nanti kononnya ini berita politik pula so biarlah saudara-saudari cari sendiri ya. Najis boleh disorok tetapi baunya tidak….
** terima kasih tidak terhingga kepada Saudara Mohd Monier dan Saudara R Parimala Bai atas dan kutipan maklumat untuk tujuan murni ini.
Comments