PUTUS TUNANG, PENYELESAIAN ATAU KEMUDARATAN?

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera,

Sekadar Gambar Hiasan
Akhbar Kosmo hari ini melaporkan tentang hajat seorang lelaki yang tidak kesampaian untuk mendirikan mahligai impiannya. Penulis tidak mahu menyentuh sebab musabab perkara tersebut berlaku. Apa yang penulis ingin sentuh adalah memberi sedikit nasihat dan buah pandangan supaya ianya dapat membantu mana-mana individu apabila melalui keadaan dan pengalaman seperti itu kelak. Mungkin ada di kalangan pembaca yang telah mengetahuinya tetapi penulis berasa masih ramai lagi di luar sana yang belum atau tidak arif bagaimana untuk berhadapan seterusnya menangani kerugian samada kerugian dalam bentuk maruah mahupun material akibat daripada kejadian tersebut dan kepada yang sedang berkira-kira nak buat macam itu mungkin akan berfikir semula sama ada mahu meneruskan niat atau membatalkannya.

Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, “jika seseorang mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian itu boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah."

Ini bermakna sekiranya satu daripada pihak mungkir untuk berkahwin selepas suatu perjanjian yang sah dibuat tanpa sebab yang dibenarkan syarak sedangkan pihak yang satu lagi itu bersedia untuk berkahwin dengannya maka pihak yang mungkir itu perlu,

a) Memulangkan segala hantaran yang diterimanya daripada pihak yang satu lagi ataupun jika tidak dapat memulangkannya maka perlu membayar dengan wang yang senilai dengan hantaran yang diberikan itu;
b) Menanggung perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak yang bersedia untuk berkahwin itu di dalam membuat persediaan bagi perkahwinan itu.

Kedua-dua perkara di atas hendaklah ditanggung oleh pihak yang mungkir kepada perkahwinan itu dan sekiranya ia enggan membayarnya maka pihak yang bersedia untuk berkahwin itu boleh menuntut remedi itu di Mahkamah Syariah melalui seksyen 15 Akta yang disebut di atas.

Bagaimanapun,
jika pihak yang memutuskan pertunangan ada sebab yang sah dan diiktiraf hukum syarak, maka pihak yang memutuskan pertunangan itu tidak perlu memenuhi kedua-dua keperluan yang diperuntukkan di dalam seksyen 15. Perlu dijelaskan di sini seksyen 15 di atas tidak memberi peruntukan secara spesifik untuk menuntut ganti rugi atas perasaan malu pihak yang dimungkiri untuk dikahwin itu.

Seksyen 15 hanya terhad kepada dua perkara yang dinyatakan di atas saja. Oleh itu, persoalan timbul sama ada boleh menuntut ganti rugi itu ataupun sebaliknya dan mahkamah manakah yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar persoalan sedemikian.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 tidak mempunyai peruntukan mengenai penggunaan hukum syarak seperti dalam sembilan negeri lain di Malaysia. Peruntukan mengenai penggunaan hukum syarak membawa maksud bahawa mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan yang tidak selaras dengan hukum syarak adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu dan jika ada lakonan atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata di dalam Akta, mahkamah hendaklah memakai hukum syarak.

Peruntukan sebegini boleh memberi kesan bahawa tuntutan ganti rugi kemungkiran perkahwinan boleh dituntut di Mahkamah Syariah dengan syarat ia boleh dibuktikan tidak berlawanan dengan hukum syarak walaupun tiada peruntukan spesifik mengenainya.

Pihak yang menuntut di Mahkamah Syariah itu hendaklah meyakinkan Mahkamah Syariah bahawa tuntutannya itu tidak tersasar dari apa yang digariskan di dalam hukum syarak sebelum mahkamah boleh memberikan perintah pihak yang mungkir itu membayar ganti rugi akibat perasaan malu yang ditanggungnya selepas diputuskan pertunangan tanpa sebab yang sah.Namun, beban pembuktian diletakkan kepada pihak yang menuntut bagi membuktikan bahawa ia tidak berlawanan dengan hukum syarak.

Mahkamah yang berhak membicarakan tuntutan sebegini pula tentulah Mahkamah Syariah seperti yang termaktub di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang menjelaskan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar perkara berhubung pertunangan, perkahwinan dan sebagainya.

Oleh itu, Mahkamah Sivil tidak berkuasa bagi membicarakan tuntutan berkaitan dengan hal ehwal pertunangan ini. Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga mengeluarkan Mahkamah Sivil daripada mempunyai bidang kuasa membicarakan perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa ke atas sesuatu perkara itu.

Penulis berharap benar agar perkara seumpama ini dapat dielakkan oleh semua pasangan yang sedang meniti hari bahagia. Bermusyawarahlah agar masalah yang timbul dapat diselesaikan. Itu semua sebahagian daripada dugaan alam pertunangan. Pasti timbul pelbagai isu yang cukup mencabar. Apa pun, penulis akur bahawa kita hanya mampu merancang, selebihnya hanya Allah Yang Maha Mengetahui untuk menentukan. Untuk maklumat yang lebih lanjut dan terperinci, penulis syorkan berhubunglah dengan Persatuan Peguam Muslim Syarie Malaysia (PGSM) atau layari www.peguamsyarie.com.



Comments

Popular Posts